Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PKR N.14 Tamparuli, Alijus Sipil (kiri) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Santai Bersama Presiden PKR sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Tamparuli, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 2O SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli Alijus Sipil menepis dakwaan yang mengatakan beliau bukan anak jati kawasan itu.

Beliau memberitahu, ibu dan bapanya merupakan anak kelahiran Tamparuli.

“Sebenarnya ada isu permulaan kempen mengatakan Alijus orang tempatan. Itu salah. Bapa saya lahir di Kampung Bentayan, Tamparuli. Mak saya lahir di Kampung Pangkalan Tamparuli.

“Tiada isu untuk mengatakan saya bukan orang Tamparuli,” tegasnya ketika Program Santai Bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan SASS, Pekan Tamparuli hari ini.

Beliau membidas dakwaan Ketua Penerangan, Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau Alijus Sipil bukan anak tempatan Tamparuli.

Alijus menjelaskan, kesibukannya  bekerja sebagai penjawat perkhidmatan awam di Tawau menyebabkan beliau jarang balik ke Tamparuli.

Calon PKR N.14 Tamparuli, Alijus Sipil

“Walaupun begitu, saya mempunyai rumah di Bentayan sejak tahun 2002,” ujarnya sambil memaklumkan ramai pengundi DUN Tamparuli mahu mengenalinya.

Kerusi DUN Tamparul menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Penyandangnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.

Alijus juga berdepan dengan Denis George Kian Fah @ Denis Gimpah dari Parti Cinta Sabah – PCS) dan Dr Raymond Alfred @ Jenry (Parti Liberal Demokratik – LDP).– MalaysiaGazette