Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng dijangka menggantikan Tan Kok Wai sebagai Pengerusi DAP selepas penggal bekas Menteri Kewangan itu sebagai setiausaha agung parti tamat menjelang pemilihan DAP pada hujung tahun ini.

Difahamkan, Kok Wai yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras berniat untuk berundur bagi memberi laluan kepada Guan Eng yang tidak boleh bertanding semula jawatan setiausaha agung.

“Terdapat khabar angin bahawa Kok Wai secara proaktif mencadangkan pengunduran dirinya bagi memberi laluan kepada Guan Eng.

“Kok Wai mungkin dilantik sebagai penasihat, sama seperti Lim Kit Siang,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Menurut sumber lagi, DAP akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh persidangan tahunan, pemilihan parti dan maklumat lanjutnya selepas selesainya Pilihan Raya Sabah.

Isu yang mencuri tumpuan dalam pemilihan itu adalah hala tuju Guan Eng dan calon yang akan menggantikan beliau sebagai setiausaha agung.

Sistem pemilihan DAP mengkehendaki 30 orang dipilih sebagai pemimpin pusat dan mereka akan memasuki pemilihan pusingan kedua untuk menentukan jawatan dan tanggungjawab masing-masing dalam parti.

Sebagai parti yang mengamalkan fahaman Sosialis, Setiausaha Agung DAP memiliki kuasa sebenar, manakala pengerusi perlu menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting dan juga merupakan jawatan penting dalam membuat keputusan hal ehwal parti.

Walaupun terdapat ura-ura bahawa Kok Wai akan memberi laluan kepada Guan Eng untuk menjadi pengerusi, Bendahari Agung DAP, Fong Kui Lun bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu akan perkara itu.

“Walaupun jika betul Guan Eng menjadi pengerusi, beliau tidak akan mengawal parti kerana kuasa sebenar terletak pada setiausaha agung,” katanya.

Kok Wai ketika dihubungi Sinchew Daily pula enggan mengulas mengenai ura-ura beliau akan berundur daripada jawatan pengerusi.

Dalam pada itu, Kui Lun berkata, Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Senator Liew Chin Tong merupakan antara calon untuk mengisi jawatan setiausaha agung.

Ditanya sama ada Siew Fook merupakan “calon yang direstui” secara dalaman , Kui Lun berkata, ia bergantung kepada pemilihan yang akan berlangsung.

Sumber bagaimanapun berpendapat Siew Fook merupakan calon yang “komprehensif” dan tiada pertikaian, sehingga beliau boleh diterima kem berlainan dalam parti.

Menurut analisis, Selangor, Perak dan Pulau Pinang merupakan “peti undi” terbesar dalam pemilihan DAP.

“Angin anti-elit telah bertiup dalam DAP Selangor sehingga Tony kehilangan pengaruh dalam pemilihan lalu, 60 peratus undi justeru dijangka menyokong calon bukan elit.

“Perak pula merupakan kawasan di bawah pengaruh Nga Kor Ming dan beliau dijangka menguasai 80 peratus undi DAP Perak,” kata sumber.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Guan Eng adalah seangkatan dan masing-masing mempunyai pengaruh yang kukuh dalam DAP Pulau Pinang.

“Exco negeri, Phee Boon Poh juga mempunyai pengaruh tertentu, tetapi kebanyakan ahli akar umbi akan menyokong Guan Eng,” kata sumber. -MalaysiaGazette