KUALA LUMPUR – Unit kemalangan dan kecemasan, klinik pesakit luar, kemasukan pesakit dalam dan perkhidmatan pembedahan dan surgeri Kedah Medical Centre (KMC) telah beroperasi semula hari ini.
Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr. Kamaruzaman Ali berkata, KMC meneruskan operasi setelah selesai proses pembersihan menyeluruh di seluruh hospital.
Ujian sampel persekitaran yang diambil dari 50 kawasan hospital menunjukkan keputusan negatif (tidak ada bukti jangkitan).
Pengesanan awal kes Covid hanya melibatkan perkhidmatan pembedahan dan surgeri dan tidak ada penularan jangkitan ke jabatan lain.
Seramai 636 pekerja kerja, doktor dan pekerja luar KMC telah diperiksa dan diperakui bebas dari jangkitan.
”Mereka kini telah kembali bekerja seperti biasa,” katanya.
KMC beroperasi semula setelah pihak Jabatan Kesihatan Negeri JKN) Kedah berpuas hati dengan komitmen, pengurusan dan langkah pencegahan yang telah ambil untuk membendung penularan jangkitan Covid 19 mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kedah Medical Centre menangguhkan operasi dari 10 September 2020 lalu setelah pengesanan kes Covid-19 di salah satu jabatan perkhidmatannya.
Semua warga kerja yang mempunyai kontak dengan pesakit juga telah dikenal pasti dan ditempatkan di bawah kuarantin dan pengawasan KKM. – MalaysiaGazette