Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Angkatan Pemuda-Pemudi Parti Berjasa (Angkasa) akan menghantar memorandum dan petisyen bantahan kepada Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut penjelasan dan menuntut suruhanjaya itu menutup portalnya yang berbahasa mandarin.

Memorandum tersebut akan diserah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya.

Ketua Angkasa, Hazwan Mohamad berkata, ia merupakan memorandum penting yang dihantar oleh rakyat bagi menuntut penutupan portal yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan dan semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Katanya, langkah itu tercetus selepas kenyataan media SPRM mengumumkan pelancaran portal rasmi berbahasa mandarin minggu lepas.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkasa, Asyraf Badh berkata, isu berkaitan penguasaan bahasa kebangsaan bukan isu kecil dan ia perlu diselesaikan oleh kerajaan segera.

“Kita akan desak sehingga SPRM akur dengan perlembagaan Malaysia. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana akan menjadi titik tolak kepada banyak lagi tindakan yang sama akan berulang pada agensi lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette