Hampir setiap hari Pati menceroboh masuk ke negara ini melalui lorong tikus.

KUALA LUMPUR – Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru tiba dari Indonesia ditahan awal pagi ini di Pesisir Pantai Kompleks Rakan Muda, Desaru.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak, Melaka dalam kenyataannya berkata, bertindak atas maklumat daripada Anggota Petugas Pos Kawalan yang mendengar bunyi bot di lokasi berkenaan telah mengatur gerak sekitar jam 3.40 pagi.

Menurutnya, hasil penjejakan dari kesan tapak kaki sekitar pesisir menuju ke arah hutan pada jarak 400 meter dari lokasi pos kawalan berjaya mengesan kedudukan PATI.

”Serbuan dilakukan telah berjaya menangkap lapan PATI yang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 49 tahun yang baru tiba dari Indonesia sedang bersembunyi di dalam hutan,” kata kenyataan media markas tersebut.

Pihak berkuasa itu turut merampas pelbagai jenai mata wang dan 10 buah telefon bimbit yang nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,930.45.

Kesemua PATI telah di bawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. – MalaysiaGazette