Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di ibu negara awal pagi tadi.

Wan Mokhtar dilapor meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi dalam usia 88 tahun.

Berita kematian Allahyarham dimaklumkan oleh anaknya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Menerusi hantaran di Facebook, Wan Abdul Hakim memberitahu, jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam selepas Zohor.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam selepas itu.

Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar Terengganu daripada tahun 1974 sehingga tahun 1999 dan pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada tahun 2000 sehingga tahun 2005. – MalaysiaGazette