Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berswafoto bersama jentera Barisan Nasional selepas hadir ke perjumpaan jentera Barisan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Bilk Gerakan DUN Balung, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Adalah mustahil bagi Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menunaikan janji untuk memberikan lima ekar tanah kepada setiap keluarga di Sabah.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, janji yang ditabur oleh Shafie itu tidak boleh ditunaikan dan ia merupakan satu pembohongan semata-mata.

“Saya congak-congak tadi melalui kalkulator saya, saya tengok-tengok, tanah mana yang dia (nak) bagi ni?

“Sampai Gunung Kinabalu pun tidak selesai. Jadi ini merupakan satu pembohongan lagi.

”Ini adalah janji pilihan raya yang sudah tentu takkan dapat ditunaikan sama sekali,” katanya kepada media selepas menghadiri ceramah dan majlis perjumpaan pemimpin utama BN itu bersama calon-calon BN dan jentera BN DUN Balung, Tanjung Batu dan Kukusan.

Dalam pada itu, Bung Mokhtar berkata, pengundi di kawasannya juga telah termakan dengan janji Shafie.

“Rakyat (pengundi) saya pun (di Kinabatanagan) percaya. Saya pergi ronda satu hari dua malam, baru mereka tahu. Saya kata kamu kena tipu.

“Ini tanah tak boleh dibagi. Tak usah bilang kamu, sultan mana pun, tanah ini pun tak boleh dibagi, ” katanya lagi.

Jumaat lalu, Shafie memberi jaminan kepada rakyat Sabah untuk memberikan geran tanah sebanyak lima ekar bagi setiap keluarga di negeri itu.

Keyakinan itu akan dikotakan sekiranya pengundi di Sabah memberikan kuasa kepada sekali lagi untuk mengemudi kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Malah katanya, rakyat Sabah tidak memerlukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mahupun Bantuan Prihatin Nasional. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.