Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) diiringi Guru Besar SK Ampang, Nazirah Mohd Nordin (dua kiri) bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar sekolah yang menerima pelitup muka fabrik pada Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka Fabrik Kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Kawasan Parlimen Ampang di Sekolah Kebangsaan Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

AMPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan pelitup muka fabrik untuk pelajar sekolah kini memasuki fasa kedua untuk diedarkan.

Inisiatif itu melibatkan kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, penghasilan pelitup muka yang boleh dibasuh dan digunakan semula itu bakal memanfaatkan pelajar sekolah rendah dan menengah khususnya golongan B40.

Katanya, ketika ini penghasilan 50,000 helai pelitup muka fasa pertama semasa pelancaran pada pertengahan Ogos lalu telah menjangkaui sasaran yang ditetapkan dan lebih banyak lagi akan dihasilkan dengan bantuan penjahit tempatan serta ibu tunggal.

“Hari ini sebanyak 15 sekolah rendah dan menengah telah diserahkan 1000 helai pelitup muka fabrik untuk pelajar sebagai permulaannya.

“Selepas ini kita akan mengedarkan ke kawasan lain di negeri Selangor dan usaha menghasilkan pelitup muka fabrik ke negeri lain sudah dimulakan,” katanya selepas majlis penyerahannya kepada wakil guru setiap sekolah di Sekolah Kebangsaan Ampang hari ini.

Menurut Zuraida, inisiatif berkenaan mahu membantu kerajaan segi perbelanjaan kewangan yang banyak dalam membeli pelitup muka pakai buang.

Ketika ini, katanya, kanak-kanak sekolah memakai pelitup muka pakai buang yang memerlukan perbelanjaan yang banyak dan ada juga ibu bapa yang mungkin tidak mampu mendapatkannya.

“Kita ada lima juta pelajar seluruh negara dan perbelanjaan itu agak berat, mengambil kira perkara ini kita bekerjasama dengan syarikat kain fabrik seperti Jakel dan Akimi yang mana penerimaan perca kain fabrik memang luar biasa.

“Buat fasa pertama kita serahkan 1,000 helai di sekolah-sekolah Ampang dan akan menyerahkan pada pusingan kedua dengan bekalan lebih banyak.

“Untuk negeri lain, prosesnya pengedaran sudah dimulakan, penghasilan pelitup muka juga semakin meningkat tanpa masalah dengan tenaga kerja yang kita miliki sekarang..insyallah inisiatif kami akan mencapai objektifnya,” ujar beliau.

Beliau juga memuji para guru sekolah yang menyahut cabaran pembudayaan norma baharu yang dilancarkan Perdana Mentri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengawal dan mendisiplinkan pelajar di sekolah supaya segala amalan norma baharu dipatuhi.

“Bukan senang untuk guru di sekolah sentiasa menyemak suhu, memastikan pelajar mematuhi norma baharu dan memakai pelitup muka demi menjamin aspek kesihatan mereka dari pandemik Covid-19.

“Bantuan pelitup muka KPKT juga diharap dapat membantu sekolah-sekolah menguruskan pelajarnya,” katanya.-MalaysiaGazette