JOHOR BAHRU – Tujuh kenderaan yang diletak di pekarangan sebuah bengkel di hadapan Balai Polis Plentong di Taman Plentong Baru di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrulnizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 11.32 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 14 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Tebrau ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan tujuh kenderaan termasuk dua lori jenis Toyota yang musnah 50 hingga 65 peratus, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Volvo dan Honda terbakar 80 peratus.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua motosikal yang musnah 50 hingga 90 peratus. Kebakaran berlaku ketika kenderaan dalam parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pukul 1.11 tengah hari manakala operasi tamat sepenuhnya pukul 1.21 tengah hari.
Sementara itu, seorang penduduk di kawasan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Khairuddin, 40, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Kebetulan saya menggunakan laluan di hadapan balai polis itu ketika mahu pulang ke rumah yang terletak berhampiran bengkel ini.

“Saya tidak pasti sama ada kenderaan itu milik pelanggan atau pemilik bengkel namun kejadian seumpama ini berlaku pertama kali.
“Peniaga di bangunan berhampiran kawasan tersebut mendakwa tiba-tiba terdapat api dan tidak pasti punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette
















