Keadaan kereta yang remuk selepas dilanggar sebuah kren di Jalan Len Sen malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pemandu kren yang melanggar lari sebuah kereta di Taman Len Sen, Cheras malam tadi masih belum membuat laporan polis setakat malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, kereta jenis Proton Saga berkenaan telah dilanggar oleh sebuah kren ketika pemandunya membelok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Sen dari Cheras.

”Kereta mangsa telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan dipercayai kren yang sedang bergerak lurus,” katanya yang mengesahkan kemalangan tersebut.

Akibat kemalangan tersebut, bahagian depan penyangkut kren itu telah menghempap bumbung kereta berkenaan.

Kren itu juga tidak berhenti sejurus kemalangan berlaku, katanya.

Katanya, pemandu kereta, P Sivalingam yang juga pemandu e-hailing berusia 55 tahun dikeluarkan dari kereta dengan bantuan bomba dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan berlaku semasa hujan lebat.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang serpihan objek ditemui di dalam kereta.

Lewat malam tadi tular kejadian kononnya sebuah lagi kereta dihempap konkrit di kawasan  pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Len Sen.

Kejadian itu menarik perhatian netizen selepas sehari seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dihempap  konkrit struktur pembinaan SUKE ketika melalui Jalan Lingkaran Tengah berhampiran Terminal Bas Bersepadu di Tasik Selatan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah tangan kiri dan tulang selangka. – MalaysiaGazette