Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya di seluruh negara tidak dibenarkan sama sekali.

Namun, penunggang basikal  masih dibenarkan meneruskan aktiviti berkenaan di jalan persekutuan, dan jalan-jalan lain.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Azizman Alias berkata, pihaknya terpanggil untuk menjelaskan berkaitan isu tersebut kerana perkara itu sedang hangat dibincangkan.

“Aktiviti tersebut hanya dilarang di lebuh raya namun masih dibenarkan di jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Bukit Aman ingin menasihatkan penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berbasikal itu agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

“Ia penting demi menjamin keselamatan diri serta setiap pengguna jalan raya yang lain.

“Mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang RM300.00 dan maksimum RM2,000.00,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast