KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) telah menutup cawangan Kepong di Kuala Lumpur buat sementara waktu, termasuk akses ke mesin perkhidmatan perbankan layan diri selepas dimaklumkan seorang kakitangan diuji positif Covid-19.

Cawangan akan ditutup sehingga 5 Oktober 2020 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman dijalankan dan akan dibuka apabila selepas mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kesihatan.

Kakitangan tersebut, yang merupakan seorang pakar gadai janji yang berpangkalan di cawangan ini, telah mengunjungi Lahad Datu dan Semporna, Sabah antara 10 hingga 13 September 2020.

”Kami telah memulakan usaha pengesanan kontak di mana semua kakitangan dan pelanggan yang telah berhubung rapat dengan kakitangan tersebut akan dihubungi pada akhir hari ini.

”Mereka akan diminta untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari sementara memantau kesihatan mereka dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa kesihatan. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan mengenai langkah-langkah susulan yang mungkin perlu diambil,” kata UOB dalam kenyataan di sini.

UOB Malaysia ingin memberi jaminan kepada para pelanggan dan kakitangan bahawa bank telah melaksanakan langkah berjaga-jaga yang disyorkan oleh kerajaan di premis berkenaan bagi memastikan keselamatan orang ramai.

”Kami menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan perkhidmatan perbankan digital kami, termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Peribadi Plus UOB dan aplikasi mudah alih UOB Mighty,” tambahnya.

Bagi pelanggan yang perlu menggunakan perkhidmatan di cawangan UOB ini, sila kunjungi cawangan Damansara Uptown dan Kota Damansara kami, atau cawangan lain yang mudah bagi mereka menjalankan urusan perbankan mereka. – MalaysiaGazette