Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) menunggu laporan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhubung insiden kemalangan di Lebuh Raya Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, perkara itu kini diserahkan kepada agensi berkenaan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Secara asasnya, kita kena lihat dari perspektif yang berbeza. Pertama melalui perspektif reka bentuk, kena monitor lokasi,  kena lihat keseluruhan kerja melibatkan jurutera dan jurutera yang melakukan pemeriksaan.

“Kita akan dapatkan laporan penuh dari CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan). JKR seterusnya akan ambil tindakan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus penggiat industri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai langkah yang boleh diambil oleh pihak kementerian berhubung insiden yang berlaku di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini.

Sabtu lalu, seorang wanita cedera di tangan selepas dinding parapet menghempap kereta yang sedang dipandunya.

Kejadian berlaku berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 dekat Sungai Besi.

Manakala, dalam insiden berasingan, seramai tiga pekerja warga China cedera selepas struktur besi cerucuk di tapak pembinaan terjatuh dari struktur binaannya.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu sebarang tindakan hanya akan diambil selepas pihaknya menerima laporan hasil daripada siasatan yang dibuat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita cedera di tangan akibat kepingan konkrit jatuh menghempap kereta