Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan muncul lagi satu kluster baharu wabak Covid-19 yang telah dilaporkan di Semporna, Sabah.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bangau-Bangau itu dikenalpasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna.

Jelas beliau, sebanyak lima kes iaitu kes ke-10,340 hingga ke-10,344 telah dikesan positif Covid-19 pada 21 September lalu.

 

“Daripada jumlah itu, empat kes merupakan warganegara Malaysia dan satu kes merupakan bukan warganegara.

“Kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 97 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah lima kes dikesan positif dan 92 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media di KKM di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Hospital Semporna.

Jelas beliau, punca jangkitan itu adalah masih dalam siasatan namun perkhidmatan di Hospital Semporna berjalan seperti biasa.

Sementara itu, sehingga 12 tengahari tadi, kluster lain di Sabah mencatat sebanyak 41 kes baharu membabitkan Kluster Benteng LD.

Ini menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 624 kes.

Kluster Pulau pula terdapat enam kes baharu yang menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 35 kes.

Selain itu, terdapat enam kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Selamat yang menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 25 kes. – MalaysiaGazette