Penerima Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan), Franklin Lim Tiam Yang di Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Bayaran projek masih tertunggak dan pada masa yang sama projek sedia ada tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Bagi kontraktor muda yang mengemudi syarikat Forever Succes Construction di sini, keadaan itu mengganggu aliran tunai syarikatnya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menanggung kerugian.

 

Kesukaran yang dialami Franklin Lim Tiam Yang, 27, tidak terhenti setakat itu.

Gaji sembilan pekerjanya tidak dapat dilunaskan seperti biasa sekaligus menjejaskan kehidupan seharian mereka yang bergantung mata pencarian kepada syarikatnya.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila bayaran kepada pembekal juga terpaksa ditangguhkan.

“Apa yang merisaukan saya adalah kebajikan pekerja. Semasa PKP ada projek sudah siap dan ada yang sedang dijalankan tapi belum dapat bayaran.

“Yang merisaukan adalah aliran tunai yang tidak lancar untuk bayar gaji pekerja dan kos-kos lain yang perlu ditanggung oleh syarikat sehingga ke satu peringkat saya bercadang mahu membuat pinjaman,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini

Belum sempat beliau merealisasikan hasrat membuat pinjaman, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM10 bilion di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengumuman tersebut adalah khabar paling menggembirakan buat Franklin dan usahawan-usahawan PKS di seluruh negara kerana ia dapat memecahkan kebuntuan dalam menyelesaikan masalah aliran tunai syarikat masing-masing.

Menerusi dana bantuan mikro, Forever Success Construction menerima dana sebanyak RM50,000 yang digunakan oleh Franklin untuk menyelesaikan pembayaran gaji pekerja serta melunaskan hutang tertunggak kepada pembekal. .

Franklin Lim Tiam Yang di Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL

“PRIHATIN sangat membantu. Bayangkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan tidak ada pendapatan langsung sebab perniagaan tidak boleh berjalan.

“Sebenarnya PRIHATIN ini bukan sahaja membantu saya tetapi membantu ekonomi semasa,” katanya lagi.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana pantas memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu para peniaga yang terjejas.

“Saya berterima kasih inisiatif pinjaman Mikro PRIHATIN, ini sangat membantu. Saya berharap ekonomi negara pulih cepat,” katanya sambil berharap pakej-pakej bantuan seperti ini dapat diteruskan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast