Michael Lo Vun Leong di Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Siapa sangka perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu turut terjejas akibat pandemik Covid-19 berikutan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak tersebut.

Michael Lo Vun Leong mengakui agak buntu memikirkan nasib 18 pekerjanya apabila aktiviti perniagaan menghantar barang menggunakan lori terpaksa dihentikan demi mematuhi PKP.

 

Beliau semakin kusut apabila menghitung kerugian yang terpaksa ditanggung sambil tidak menolak kemungkinan terpaksa gulung tikar kerana Covid-19 tidak diketahui sampai bila akan berakhir.

“Bila PKP bermula Mac yang lalu perniagaan merudum sebab lori-lori tidak boleh keluar menghantar barangan. Keadaan ini tentunya menjejaskan perniagaan dan para pekerja saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Ternyata kebimbangan Michael tidak berpanjangan.

Tindakan pantas kerajaan merangka pelan komprehensif bagi membantu rakyat terutamanya golongan peniaga agar dapat bernafas semula membantu merungkai kekusutan yang membelenggu dirinya.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, peniaga berusia 45 tahun itu mula mengorak langkah mahu memastikan operasi perniagaannya dapat diteruskan dan nasib para pekerjanya terbela.

Michael Lo Vun Leong

Tentunya inisiatif dan keprihatinan kerajaan menyediakan pakej prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tambahan sebanyak RM10 bilion menjadi sandaran kepada Michael untuk meringankan beban yang ditanggungnya dalam mengharungi cabaran ekonomi.

“Tidak sampai dua minggu permohonn saya diluluskan dan bantuan kewangan sebanyak RM60,000 yang saya perolehi saya gunakan untuk membayar dua bulan gaji pekerja,” katanya sambil tidak putus-putus melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan.

Lebih menggembirakan apabila dana MicroPlus tersebut juga dimanfaatkan oleh Michael untuk menambah sebuah lagi lori sekaligus meningkatkan kecekapan serta keupayaan syarikatnya dalam membuat penghantaran barangan.

Di sebalik kegawatan ekonomi akibat Covid-19, Michael percaya banyak perkara yang dapat dipelajari untuk memastikan perniagaan 43 Shop yang diusahakan sejak 2016 terus bertahan dengan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu bijak melaksanakan program PRIHATIN untuk PKS. Jika tidak kami mungkin hanya duduk di kaki lima sahaja tidak dapat meneruskan perniagaan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat terus membimbing dan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada PKS supaya mereka dapat sama-sama memainkan peranan membantu merangsang pemulihan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast