Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bergambar pada Sesi Pengumuman Pemenang Pertandingan Reka Cipta Dan Inovasi (Innovation Development Through Educational Activities) (IDEA) Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (Ilkbs) Secara Atas Talian di Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI 23 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Pelajar-pelajar lepasan sekolah dan golongan belia digalakkan memilih bidang kemahiran sebagai pilihan tambahan selain pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mereka mempunyai masa depan cerah dalam bidang kemahiran memandangkan teknologi kemahiran yang ditimba mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Menurutnya, pelajar lepasan di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) kini menjadi buruan pelbagai syarikat dan pemain industri tempatan.

“Skil (kemahiran) yang mereka dapat mempunyai nilai kebolehpasaran tinggi walaupun mereka bukan pelajar universiti dan membuktikan inovasi itu milik semua dan bukan sekadar universiti sahaja.

“Saya difahamkan Menteri (Belia dan Sukan), sangat prihatin dengan pembangunan belia dan kemahiran.

“Kita hargai apa yang kita ada kalau boleh mahu menambah institut kemahiran belia khususnya di Sabah yang hanya memiliki satu IKBN sahaja.

“Namun ia bergantung kepada kemampuan kami untuk meyakinkan Kabinet dan Unit Perancang Ekonomi (UPE) di bawah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke arah memastikan pengangguran belia menurun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis pengumuman pemenang Pertandingan Rekacipta dan Pembangunan Inovasi menerusi Aktiviti Pendidikan (iDEA) ILKBS 2020.

Pemenang keseluruhan bagi Pertandingan iDEA 2020 bagi kategori iDEA Poster 2020 ialah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh dengan projek Hidden Secret Box.

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat dengan projek Occupational Noise Hazard Monitoring System memenangi kategori keseluruhan bagi kategori iDEA Video 2020.

Wan Ahmad Fayhsal mengumumkan pemenang itu secara maya berikutan pandemik Covid-19

Ditanya mengenai potensi produk rekaan dan inovasi tempatan dikomersialkan di pasaran, beliau berkata, pihaknya mahu mendaftarkan dulu ciptaan mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Jika ada ruang kita akan bekerjasama dengan agensi yang relevan dan memastikan idea-idea ini dapat kita bawa ke pasaran terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette