Anggota keselamatan sudah mula mengawal pintu masuk Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak.

ALOR SETAR – Flat Tongkang Yard dekat Jalan Seberang Perak, di sini ditutup selepas disyaki berlaku penularan kes Covid-19, membabitkan penghuni di situ.

Laluan keluar dan masuk ke perumahan itu ditutup sejak pukul 6 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Fikri Ujang berkata, tindakan itu bagi membolehkan pihaknya membuat saringan ke atas semua penghuni perumahan itu.

“Seramai 222 penghuni menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini, bermula pukul 9 pagi tadi dan selesai pada 1 tengah hari  tadi, selepas disyaki berlaku peningkatan kes di kawasan berkenaan.

“Masih terdapat empat individu yang belum menjalani saringan kerana tiada di perumahan itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, tindakan menutup perumahan kos rendah itu diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Polis menasihatkan penduduk Alor Setar supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi arahan pihak berkuasa, berkaitan dengan tindakan penutupan kawasan berkenan,” katanya. – MalaysiaGazette