Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 pasukan telah melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) kepada FC.

Pasukan-pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, enam pasukan masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan FC.

Tambah beliaum Selangor, Kelantan dan Felda United FC kini dalam peringkat akhir melengkapkan proses penswastaan itu seperti yang dikehendaki sebelum 30 September ini.

“Manakala tiga lagi pasukan iaitu Pahang, Pulau Pinang dan Kedah masih dalam peringkat pertengahan proses,’ katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.

Menurut Firdaus, surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada ketiga-tiga pasukan itu semalam.

Ujar beliau, sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan terbabit tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.

“Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan berkenaan bagi melengkapkan juga proses penswastaan kelab ini.

“Dengan ini, FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette