ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga asing yang cuba memberi wang suapan kepada polis bagi mengelak diambil tindakan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada jam 12 tengahari ketika anggota unit ronda bermotosikal terlibat dalam tugas snapcheck di susur Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian itu melibatkan seorang pegawai kanan dan empat anggota polis dari daerah berkenaan iaitu Asisten Superintendan Razali Selvaraju, Koperal Muhammad Shazrul Rosli, Koperal Mohammad Sahwan Haslan, Koperal Frankline Lipa Aanak Jaweng dan Lans Koperal Cyrill Parmin.

“Semasa bertugas, pasukannya telah menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati dokumen perjalanan dirinya telah tamat tempoh.

“Namun suspek yang tidak berdokumen sah itu tiba-tiba menawarkan sejumlah wang kepada pasukan polis bertugas itu sebagai tindakan melepaskan diri daripada ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, suspek direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, ujar beliau. – MalaysiaGazette