Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Sentuhan Mesra Warga Dun Apas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Flat Sri Titingan, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU –  Selaku orang yang lama dalam politik, Datuk Seri anwar Ibrahim seharusnya tahu tentang undang-undang penubuhan sesebuah kerajaan, bidas Zuraida Kamaruddin.

“Saya memang tak faham Datuk Seri Anwar Ibrahim ni. Dia sebagai seorang ahli politik yang veteran dan patut tahu undang-undang.

”Bagaimana kalau betul ada majoriti dan bagaimana cara yang betul untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong.

“Seolah-olah beliau tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak tahu undang-undang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Anwar membuat kejutan apabila mendakwa menerima sejumlah sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Islam bagi menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau turut memaklumkan sepatutnya mengadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) semalam namun pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan.

Hari ini juga tersebar dakwaan bahawa 19 Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Antaranya adalah Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Noh Omar dan ramai lagi.

Menjawab kepada soalan itu, Zuraida berkata, sekiranya dakwaan itu benar, Anwar seharusnya tampil membuktikan perkara itu dan jumlah kerusi yang dimiliki beliau.

Malah Ahli Parlimen Ampang itu turut berkata, Perikatan Nasional bersedia menghadapi perkara itu.

“Itu dia kena buktikan dan ikut perlembagaan, buat cara yang betul untuk tunjukkan.

“Kalau betul ada majoriti Ahli Parlimen, kita bersedia tapi cara itu tidak melambangkan seorang yang nak jadi Perdana Menteri, tidak ada kualiti langsung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette