Pemandangan Gunung Kinabalu yang dilitupi awan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Semua aktiviti lawatan dan pendakian di Kompleks Taman Kinabalu di Sabah dihentikan kerana ia ditutup sementara bermula esok hingga 8 Oktober depan.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah menerusi notis yang dikeluarkan.

Setiausaha Tetapnya, Dr Jamili Nais, berkata, penutupan itu susulan seorang pendaki dari Tawau dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang didapati positif Covid-19.

“Kami dimaklumkan pada 13 hingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Sabah menyarankan Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam, termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu, selama 14 hari berkuat kuasa 25 September (esok),” katanya.

Berikutan itu juga, katanya, semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran dan pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu serta Panalaban, dikehendaki menjalani saringan kesihatan di Dewan Kinabalu, hari ini.

“Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan, dikehendaki menjalani saringan kesihatan,” katanya.

Jelas Jamili, Jabatan Kesihatan Sabah akan meletakkan notis penutupan, termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu, bermula hari ini. – MalaysiaGazette