Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 didakwa tidak selari dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, ini kerana ia cuba melangkaui kuasa Suruhanjaya Polis dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tatatertib anggota dan pegawai polis.

“Mengikut Perlembagaan di bawah Artikel 150 Suruhanjaya Polis, semua hukuman tatatertib hanya boleh dijatuhkan oleh Suruhanjaya Polis.

“Peruntukan kuasa diberikan kepada pegawai-pegawai polis berpangkat seperti ketua polis negara atau pegawai memerintah lain.

“Mereka ini mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau mengulas usaha kerajaan untuk menarik balik IPCMC dan digantikan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020.

Bagaimanapun RUU IPCC itu tidak sempat dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang berakhir pada 30 Ogos lalu.

Musa juga menyambut baik langkah kerajaan itu bagi memastikan mana-mana suruhanjaya yang ingin ditubuhkan perlu memberi keadilan kepada anggota dan pegawai polis

“Apabila siasatan dijalankan oleh apa saja suruhanjaya yang nak ditubuhkan, pegawai polis tadi mempunyai hak untuk didengari, bukan terus siasat kemudian bersalah dan terus hukum, lepas itu tak boleh rayu di mahkamah. Itu IPCMC

“Jadi dia perlu ada keadilan di mana dia akan diberikan peluang untuk didengari (bela diri).

“Saya merasakan bahawa dengan IPCC ini, (elemen) itu telah dimasukkan untuk anggota polis mempunyai hak untuk didengari.

“IPCC tadi dia tidak menghukum, dia hanya memberikan cadangan kepada Suruhanjaya Polis,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan IPCC diperkenalkan kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagan dan tidak melangkaui kuasa Suruhanjaya Polis.

“Pada saya adil lah (IPCC). (Anggota dan pegawai polis) Ada peluang untuk bela diri.

“Kuasa menghukum atau peruntukan kuasa diberikan kepada pegawai-pegawai polis seperti Ketua Polis Negara, Timbalan KPN, Ketua Polis Negeri dan pegawai memerintah untuk menjatuhkan hukum,” katanya lagi.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk anggota keselamatan itu sendiri membantah pengenalan RUU IPCMC dalam menangani masalah disiplin dan salah laku anggota serta pegawai polis.

Ini kerana, IPCMC bersifat berat sebelah kerana tidak mengambilkira 29 cadangan pindaan penambahbaikan yang telah disyorkan oleh pihak PDRM kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang pada November 2019. – MalaysiaGazette