Foto Instagram Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rita Rudaini menganggap kehadiran kucing jalanan telah membawa rezeki kepada keluarganya selama ini.

Menerusi Instagram milkinya, Rita memberitahu, dia dan anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin serta Airit Qaqa Arjuna akan memberikan makanan dan minuman kepada kucing itu sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Setiap hari sebelum pergi sekolah, mesti singgah beri makanan dan air kat kucing. Didik anak-anak berkongsi rezeki sesama makhluk. Pernah tak, ada kucing yang tiba-tiba datang ke rumah kita?

“Kadang-kadang pergi buang tapi datang balik… bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan daripada Tuhan.

“Allah SWT nak menegur kita bahawa jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah ruah telah diperuntukkan Allah untuk kita,” tulis Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar

Pelakon filem Mami Jarum itu turut berkongsi video di laman sosialnya hari ini yang memperlihatkan anak lelakinya memberikan makanan kepada beberapa ekor kucing jalanan.

Ibu tunggal itu turut memberitahu haiwan yang menjadi kesayangan ramai itu bukan sahaja membawa rezeki dari segi wang ringgit atau harta benda tetapi juga dalam bentuk kegembiraan, kesihatan dan ketenangan.

“Kucing itu hanya menjadi asbab kepada terjemputnya segala rezeki ini dengan keikhlasan kita dan doa daripada kucing untuk tuan rumah. Jadi, selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada tuhan.

“Kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu lebih baik dari perancangan kita sendiri dan mungkin kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.

“Rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta benda tapi juga dalam bentuk yang lain seperti kegembiraan, kesihatan, ketenangan, ilmu, kemudahan dan pelbagai lagi di dunia dan akhirat,” ujarnya. – MalaysiaGazete