Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia kerana gagal melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi ketika dia mengumumkan bantuan kewangan tambahan RM10 bilion di bawah Kita Prihatin semalam.

Sedangkan, katanya, 98% permohonan untuk lanjutan moratorium dan bantuan bank secara bersasar yang telah diluluskan dengan lebih daripada 1.4 juta peminjam dan lebih daripada 380,000 peminjam mengesahkan mereka memerlukan bantuan tersebut.

Bagaimanapun,  jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah daripada lapan juta peminjam individu dan korporat yang akan mendapat faedah daripada lanjutan enam bulan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik.

Setiausaha Agung DAP itu dalam kenyataan di sini berkata, moratorium pembayaran balik pinjaman yang akan berakhir pada 30 September 2020, telah membantu meringankan beban kepada perniagaan dan isi rumah yang terjejas pasca Covid-19, dengan menangguhkan pembayaran balik pinjaman, termasuk untuk pinjaman gadai janji dan sewa beli.

Nilai moratorium pinjaman ini kepada 8 juta peminjam individu dan korporat adalah RM 90 bilion, suatu bantuan kewangan yang besar yang telah membantu menyelamatkan mata pencarian, perniagaan dan pekerjaan.

Namun, bantuan bank secara bersasar dan pelanjutan moratorium secara terpilih jauh lebih kecil impaknya berbanding pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank enam bulan secara automatik.

Pemulihan ekonomi yang tidak menentu selepas penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 17.1% pada suku tahunan kedua, iaitu prestasi yang terburuk dalam kalangan negara-negara ASEAN, bertambah teruk dengan gelombang kedua jangkitan Covid-19 yang berlaku di banyak negara asing.

”Tan Sri Muhyiddin harus mendengar keluhan lebih daripada 6.2 juta peminjam yang tercicir apabila moratorium pembayaran balik pinjaman tamat pada 30 September, terutamanya pengundi Sabah yang akan menghadapi pilihan raya negeri Sabtu ini, untuk melanjutkan moratorium tersebut selama enam bulan lagi,” katanya dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.