Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan yang mengatakan terdapat terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganya setelah mencelup jari dengan dakwat sewaktu proses mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 22 September lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan yang mengatakan terdapat terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganya setelah mencelup jari dengan dakwat sewaktu proses mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 22 September lalu.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 Markas ATM berpusat di Kementerian Pertahanan di sini hari ini mengeluarkan kenyataan sebagai menepis dakwaan yang tular dalam media sosial.

“Maklumat sedemikian yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah,” kata kenyataan itu.

Markas ATM turut menegaskan mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Sila dapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan situasi semasa penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette