Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mempunyai sebarang program berkaitan dengan pihak Istana Negara, hari ini.

Setiausaha Politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan perkara tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tarikh sebenar majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tiada,” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan penyebaran poster palsu mengenai Upacara Mengangkat Sumpah Perdana Menteri kesembilan yang menggunakan logo dengan tulisan AMK di media sosial.

Artikel berkaitan: Itu poster palsu – AMK

Menurut Setiausahanya, Ahmad Syukri Razab yang mengesahkan poster palsu itu kerana ia tidak menggunakan logo rasmi AMK Malaysia.

Rabu lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam sidang media tergempar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh lagi meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Menurut Anwar, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menegaskan parti itu tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Anwar bagi menghadap YDPA.

Ahmad Zahid menegaskan, ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.