Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengesahkan poster ini adalah palsu.

KUALA LUMPUR- Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memaklumkan poster upacara angkat sumpah Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan adalah palsu.

Menurut Setiausahanya, Ahmad Syukri Razab, selain poster palsu, logo yang digunakan juga bukan logo rasmi AMK.

“AMK menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan poster berkenaan yang mungkin dihasilkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses transisi Kerajaan Persekutuan yang sedang berjalan.

“AMK menjunjung penuh kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan isu pemilihan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berjaya memperolehi majoriti selesa bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular sekeping poster menggunakan logo seakan-akan logo AMK menyatakan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas upacara angkat sumpah di Istana Negara pada hari esok jam 10 pagi.- MalaysiaGazette