Bayern Munich menjinakkan pasukan degil Sevila sebelum menjulang Piala Super Uefa dalam aksi awal pagi tadi di Budapest dihadiri lebih 15,000 penonton.

BUDAPEST – Bayern Munich diheret ke masa tambahan oleh Sevilla sebelum berjaya menjulang Piala Super Uefa di hadapan 15,180 penyokong di Arena Puskas awal pagi ini.

Stadium berkapasiti 67,000 penonton itu membenarkan penyokong menyaksikan aksi itu sebagai ujian dalam mengendalikan perlawanan ketika menghadapi penularan Covid-19.

Stadium tersebut hanya dibanjiri penyokong Sevilla manakala penyokong Bayern memilih untuk menonton dari kediaman masing-masing.

Sevilla yang tidak mahu menyerah kalah mengejutkan juara Liga Juara-Juara Eropah itu dengan gol awal Lucas Ocampos menerusi sepakan penalti pada minit ke-13.

Bagaimanapun juara Bundesliga Jerman itu berjaya mengatur serangan dan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi Leon Goretzka hasil hantaran Robert Lewandowski.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mencipta gol pada separuh masa kedua.

Cubaan Lewandowski dan Leroy Sane berjaya ditepis penjaga gol Sevilla dan pemain gantian, Youssef E-Nesyri nyaris mengejutkan Bayern.

Namun penjaga gol Bayern, Manuel Neuer berjaya menafikan peluang lawan.

Perlawanan diheret ke masa tambahan dengan Bayern menembusi pertahanan Sevilla menerusi tandukan padu Javi Martinez pada minit ke-104 bagi menjulang piala tersebut.

Kemenangan itu juga menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah Sevilla musim ini. – MalaysiaGazette