Saturday, April 27, 2024
Home Ekonomi FGV Prodata dapat kontrak Kementerian Pertahanan

FGV Prodata dapat kontrak Kementerian Pertahanan

FGV

KUALA LUMPUR – Anak syarikat FGV Holdings Berhad, FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), berjaya memperolehi kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia bagi penyelenggaraan perkakasan selama tiga tahun.

Kejayaan ini membuktikan kepakaran anak tempatan sebagai penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Prodata, Ali Mustafa berkata, syarikat itu mampu menjadi salah satu pemain ICT utama di Malaysia, berikutan kejayaan mengendalikan pelbagai projek khidmat luaran ICT atau perkhidmatan mengurus projek untuk agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta di Malaysia.

“Pencapaian ini selari dengan perjalanan transformasi Kumpulan FGV dalam memperluaskan bidang pertumbuhan baharu untuk menciptakan lebih banyak nilai. Ini sangat penting bagi kami, kerana ia membuktikan kredibiliti FGV Prodata dalam menyediakan komponen hujung ke hujung untuk membina sistem yang selamat dan padu bagi industri ICT,” katanya.

Untuk kontrak tiga tahun bermula September 2020, perkhidmatan FGV Prodata merangkumi bekalan alat ganti, penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan sehingga 10,000 peralatan ICT di sembilan lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur, serta merangkumi perkhidmatan IT untuk pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

FGV Prodata telah memberikan perkhidmatan kepada MinDef selama lebih 20 tahun dengan menyediakan peralatan ICT dan perkhidmatan penyelenggaraan melalui beberapa kontrak.

Sejak penubuhannya hampir 50 tahun yang lalu, FGV Prodata telah menjadi bahagian penting dalam membawa teknologi ke FGV untuk menyokong dan memacu kecemerlangan operasi. \\

Pada asasnya, FGV Prodata bertanggungjawab meningkatkan penggunaan teknologi bagi sistem rantaian bekalan minyak sawit FGV.

Dalam beberapa tahun ini, FGV Prodata telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam mempelbagaikan portfolio perniagaannya dengan memasuki bidang perniagaan baharu dan terus menawarkan teknologi trend terkini IR 4.0 bermula dengan perkhidmatan Analisis, Automasi, Pengkomputeran Awan, dan Internet Benda (Internet of Things). – MalaysiaGazette