Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 115 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 111 individu telah dikompaun manakala empat lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (35), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (31), dokumen perjalanan tamat tempoh (26).

“(Selain itu) gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tidak memakai pelitup muka (1),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi, semalam.

“Turut berjaya dirampas dua bot dan lima kenderaan darat. Sebanyak 98 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (76 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette