Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin-pemimpin di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berunding secara baik dalam menentukan Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Tegasnya, beliau mahu menunaikan janji untuk memberikan kuasa autonomi kepada UMNO dan Barisan Nasional Sabah berbincang bersama pemimpin-pemimpin dari negeri itu.

“Kami mahu menunaikan janji untuk memberikan autonomi kepada UMNO dan Barisan Nasional Sabah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Rakyat Sabah memerlukan seorang Ketua Menteri tanpa pengaruh Putrajaya atau Kuala Lumpur.

“Biarlah orang Sabah yang menentukan siapakah Ketua Menteri mereka.

“Saya cuma ingin berpesan, berundinglah dengan baik-baik,” katanya melalui satu sidang video malam tadi.

Menurut Zahid, beliau dijangka menamatkan kuarantin di rumah pada 28 September ini dan akan terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Tambahnya, mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri Sabah, parti yang memenangi paling banyak kerusi boleh memilih salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya sebagai Ketua Menteri.

GRS dianggotai oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah.- MalaysiaGazette