M.Saravanan

SUNGAI SIPUT – Kementerian Sumber Manusia sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk mengambil pesara tentera bagi mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkhidmatan kawalan keselamatan perlu diberi penjenamaan semula dengan mengambil kira tahap kecergasan dan faktor usia seseorang petugas yang menjaga kebanyakan premis perbankan dan perniagaan.

Mengambil contoh perkhidmatan kawalan keselamatan di kebanyakan negara luar, Saravanan berkata, ia merupakan suatu pekerjaan yang dipandang tinggi berbanding di negara ini kebanyakan pengawal keselamatan terdiri daripada mereka yang sudah lanjut usia.

“Kita mesti mempunyai tahap dengan imej yang baharu dengan pertambahan pendapatan dan pelbagai insentif yang akan ditawarkan kepada pengawal keselamatan.

“Pengambilan pesara tentera dalam perkhidmatan kawalan keselamatan dapat mengatasi kebergantungan terhadap pekerja asing apatah lagi ketika ini kita sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia bagi Sungai Siput 2020 di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini, hari ini.

Sementara itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, seramai 41,696 pencari kerja di seluruh negara telah mendapat pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sejak ia dimulakan pada 15 Jun hingga 23 Sept lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,532 pekerja menjalani latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran.

Bagi negeri Perak, Saravanan berkata, sejumlah 1,317 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan menerusi program PenjanaKerjaya.

Pada karnival sehari itu, lebih 10,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh kira-kira 20 majikan. – Bernama