Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kiri) diiringi Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu (dua kanan) dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan (kanan) menandatangani plat perasmian pada Majlis Pelancaran Wisma Tun S.Samy Vellu di Wisma Tun S.Samy Vellu, Jalan Sarikei, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran menyifatkan Tun S. Samy Vellu adalah ‘tok guru’ kepadanya dalam politik untuk memimpin dan mentadbir parti serta mengendalikan permasalahan masyarakat India di negara ini.

Beliau dan juga timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan merupakan merupakan anak didik Samy pada zaman pemimpin veteran itu menerajui MIC.

“Kami belajar bagaimana hendak berpolitik secara bijak dan beramanah kerana beliaulah (Samy) tok guru untuk saya dan Saravanan dalam parti ini.

“Sejak bersekolah dan memasuki politik sehingga kami bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga semuanya dengan restu tok guru (Samy Vellu) kami.

“Beliau juga pernah menasihatkan supaya tidak terlalu mengharapkan imbuhan jika mahu MIC menjadi suara keramat dan juara masyarakat India ke arah kesejahteraan.

“Tun (Samy) hanya pesan satu kepada kami iaitu, kalau kamu harapkan imbuhan atau balasan dalam mentadbir masyarakat, maka kamu akan dilanda masalah besar yang akan mengganggu-gugat fokus kamu dalam menyelesaikan masalah komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma Tun Samy Vellu yang menempatkan Koperasi Pekerja Jaya Berhad MIC di sini hari ini.

Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia juga hadir pada majlis yang sama.

Kata bekas Yang DiPertua Dewan Negara itu, memegang kepada pesanan Samy kepimpinannya kini dapat membawa parti tanpa sebarang masalah termasuk turun padang lebih kerap dan mendengar rintihan masyarakat India.

Kata Vigneswaran, beliau dan Saravanan mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memajukan masyarakat India yang telah ketinggalan belakang semasa pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini.

“Jasa dan kerja keras Tun Samy Vellu hari ini membantu kami menguruskan parti dan komuniti tanpa hutang besar yang mana aset bernilai RM1 bilion ditinggalkannya untuk rakyat.

“Kami lebih gemar sifatkan ia sebagai aset komuniti kita kerana semuanya ada titik peluh pemimpin dan masyarakat India.

“Justeru Universiti AIMST di Kedah juga idea MIC telah dirakyatkan apabila beroperasi tanpa hutang selepas dibina dengan beratus juta ringgit dengan pinjaman bank menerusi idea Samy Vellu untuk anak-anak kita yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Walaupun segelintir pihak mempersoalkan sumbangan pemimpin dan MIC, Vigneswaran tidak akan mengendahkan dengan desakan mereka.

“Bila mereka menumbangkan MIC dipimpin Samy Vellu di Sungai Siput dengan alasan mahu mengajar cukup-cukup, kini masyarakat Parlimen itu mengakui dilanda ‘koronavirus’ selama lapan tahun lalu dan hidup dalam gelap tanpa bantuan yang sekadar jadi janji kosong pemimpin yang diwakilinya.

“Ini rintihan disertai beribu aduan diterima dan dilihat dengan mata sendiri apabila turun di sana malah ada yang datang kepada saya dan menegur; “Tan Sri kamu mesti menang di sini dan membela kami dari ‘korona politik’ di sini.

“Kami akan meneruskan kepimpinan yang beramanah, integriti, berwawasan supaya parti ini akan terus menjadi suara tunggal yang tuntas untuk masyarakat India di bawah kerajaan mampan,” tegasnya.- MalaysiaGazette