ARKIB- Penumpang dari Sabah yang menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Sebanyak 115 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 112 adalah kes tempatan manakala tiga lagi kes import.

Sabah terus merekodkan kes harian tertinggi dengan 98 kes positif baharu diikuti Selangor (10), masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, Labuan dan Terengganu.

Terdapat satu kluster baharu di Selangor iaitu Kluster Apas yang terdiri daripada enam kes baharu melibatkan warganegara Malaysia.

“KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baharu telah dikenalpasti di Selangor. Kes indeks bagi kluster iaitu kes ke-10,782 dan kes ke-10,783 merupakan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah daripada 13 hingga 16 September 2020.

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk dan selesema pada 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September lalu.

“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September 2020, didapati positif COVID-19 pada 26 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham,  terdapat lima kes baharu Covid-19 yang melibatkan kes saringan pulang dari Sabah yang mana empat kes berlaku di Selangor dan satu kes Terengganu.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematiandi Malaysia adalah kekal sebanyak 134 kes (1.22 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi.

Sehingga 28 September lalu hingga pukul 12 tengah hari, terdapat 115 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 11,034 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,011 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menyentuh mengenai kes import, ketiga-tiganya melibatkan individu yang baru tiba dari India.

Terdapat satu kes dilaporkan di Negeri Sembilan melibatkan warganegara Malaysia dan satu kes di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan bukan warganegara.- MalaysiaGazette