AirAsia
AirAsia

KUALA LUMPUR – Pembuangan pekerja pusingan kedua oleh AirAsia Berhad dijangka membabitkan lebih ramai kru kabin berbanding sebelum ini.

Penamatan pekerjaan kali pertama pada Jun lalu oleh syarikat penerbangan ini membabitkan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

Proses itu dalam usaha mengecilkan operasi kerana industri sangat terkesan dengan impak pandemik Covid-19.

Sumber berkata, berdasarkan notis maklumkan yang diberikan kepada kakitangan, pembuangan kali ini terpaksa dilakukan kerana jumlah penerbangan terhad.

Selain penerbangan luar negara tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

“Meskipun penamatan kerja ini membabitkan jabatan-jabatan lain tetapi kru kabin lebih ramai,” kata sumber.

Di peringkat juruterbang ia dijangka membabitkan 71 orang, kebanyakan dalam kalangan pegawai pertama.

Menurut notis yang dikeluarkan, mereka yang dipilih bakal dihubungi dalam 48 jam atau selewat-lewatnya Khamis.

AirAsia menjangkakan penerbangan antarabangsa bermula Mac tahun depan, atau paling cepat bulan Januari.

Kalau bermula pun, pertumbuhan saiz penumpang adalah kecil, justeru, pesawat yang diperlukan hanya 16 buah untuk kapasiti dalam pertengahan tahun 2020.

“Oleh itu, syarikat akan ada lebihan kru kabin,” kata sumber yang menyatakan penamatan pekerja mengambilkira jumlah pesawat yang akan digunakan kelak.

Difahamkan, penamatan kerja kali ini berdasarkan senioriti, yang mana pekerja yang menyertai syarikat paling akhir, akan keluar dahulu.

Juruterbang yang tidak ditamatkan dikehendaki mengambil cuti tanpa gaji tetapi akan menerima elaun kesukaran sehingga 25% daripada gaji asas. – MalaysiaGazette