Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap kepada media selepas menghadiri Program 7th Breast Care Nurse Meeting di Auditorium Institut Kanser Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kaum wanita di negara ini masih diselubungi stigma kanser payudara tidak boleh dirawat.

Mereka tidak sedar bahawa pengesanan kanser payudara pada tahap satu dan dua masih boleh dirawat secara berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham berkata, antara 55 hingga 60 peratus wanita Malaysia sedar mereka menghidap kanser pada tahap tiga dan empat yang mana ia agak terlewat untuk dirawat.

“Saya percaya jika kita boleh memberikan kesedaran menerusi program dan perkongsian maklumat, sudah pasti tahap kesedaran mengenai pengesanan awal kanser payudara pada tahap satu akan meningkat dalam kalangan wanita,” katanya selepas merasmikan Seminar Jururawat mengenai Kanser Payu Dara di Institut Kanser Negara hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, bagi menangani masalah ini, pihaknya memerlukan kerjasama kaum wanita dengan mengenepikan stigma mereka.

Penyediaan akses lebih luas kepada kesihatan payudara dan juga maklumat lanjut mengenai pentingnya pencegahan peringkat awal mampu membawa perubahan, ujar beliau.

“Aktiviti libat urus dalam kalangan masyarakat lebih penting supaya kesedaran mereka boleh dipertingkatkan dan apabila ia berlaku, lebih ramai akan tampil ke depan jalani saringan awal supaya dikesan peringkat awal memudahkan rawatan pemulihan segera.

“Di negara maju tahap pengesanan peringkat awal lebih tinggi iaitu antara 85 hingga 90 peratus dan kita juga boleh mencapai tahap itu sekiranya wanita mengenepikan stigma dan tampil ke depan merujuk hospital dan pusat-pusat kesihatan kami mengenai saringan pengesanan kanser payudara peringkat awal.

“Ada ramai pesakit saya pernah terkesan dengan kanser payudara dapat dirawat sepenuhnya hingga masa 10 tahun dan berjaya elak stigma mereka,” jelas beliau.

Dr. Noor Hisham berkata, mereka yang berada pada tahap tiga dan empat masih boleh dirawat cuma masa yang lama diperlukan untuk sembuh. – MalaysiaGazette