Mustapa Mohamed

PUTRAJAYA- Laporan Pasukan Petugas Khas Berhubung Isu Felda akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan tersebut telah diterima daripada Pengerusi pasukan petugas khas berkenaan, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Laporan telah pun diterima cuma menunggu masa untuk dibentangkan kepada Kabinet.

“Ianya akan dibentangkan tidak lama lagi,” katanya tanpa menyatakan tarikh atau jangka masa dengan tepat.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat Kaedah Membasmi Kemiskinan Dengan Norma Baharu anjuran Majlis Tindakan Ekonomi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai apakah terdapat cadangan penswastaan FGV Holdings Bhd. (FGV) dalam laporan tersebut, Mustapa tidak menjawab.

Sebaliknya beliau berkata, laporan tersebut memfokus kepada kaedah untuk menyelesaikan masalah jangka pendek yang dihadapi Felda seperti aliran tunai dan hutang yang tinggi.

Ia juga bermatlamat untuk mengumpulkan cadangan-cadangan bagi menjadikan Felda sebuah organisasi yang lestari.

Laporan yang disediakan oleh pasukan petugas khas itu adalah susulan daripada pembentangan kertas putih Felda pada April tahun lepas. – MalaysiaGazette