Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tengah) diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon di Hotel Premiere, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan melanjutkan pelaksanaan Bandar Rendah Karbon kepada sektor perindustrian pada tahun depan.

Ia susulan kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjimatkan penggunaan elektrik sehingga 35 peratus pada tahun lalu.

Exco Selangor, Ng Sze Han berkata, sebanyak 1,800 kilang akan terlibat dalam usaha itu dengan sasaran penjimatan penggunaan elektrik sehingga 35 peratus menjelang tahun 2021.

“Untuk fasa pertama ini kita tumpu kepada Lembaga Pelabuhan Klang dan kawasan industri sekitarnya kita akan mula langkah Bandar Kurang Karbon, tahun depan.

“Malah di Pulau Indah, Selangor Bio Bay sendiri telah mendahului pelan perancangan Bandar Kurang Karbon ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon MPK tahun 2020, di Hotel Premiere hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon di Hotel Premiere, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020.

Sebelum ini, MPK merekodkan pencapaian pengurangan karbon sebanyak 12.76 peratus dengan pengurangan penggunaan elektrik sebanyak 188,111 KWh bagi 2019
berbanding 1,474,171 KWh pada 2016.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya yang mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau berkata, pelbagai perancangan tersusun dan sistematik yang dakukna MPK ke arah Bandar Rendah Karbon.

“Usaha itu bermula 2016 dengan penghasilan Pelan Tindakan LCC MPK secara inhouse, penerimaan pensijilan Kettha, pembinaan sistem Green Earth bagi mengukur, merekod dan menganalisis rendah karbon di MPK.

“Malah ia merupakan sistem rendah karbon yang pertama di Malaysia yang membawa nama MPK di peringkat antarabangsa, memperoleh pensijilan SEDA dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette