Gambar hiasan

KANGAR – Tindakan nekad dua lelaki meloloskan diri daripada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Lencongan Dua dekat sini mengundang padah apabila kereta curi yang dinaiki suspek terbabas ke dalam tali air, menyebabkan kedua-duanya lemas selepas gagal keluar dari kenderaan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian kira-kira 10 pagi tadi, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki suspek berusia 25 dan 21 tahun itu terbabas ke dalam tali air di kawasan sawah Kampung Ujong Batu, Utan Aji setelah dikejar oleh polis.

“Kereta itu tenggelam dalam air, beberapa orang kampung yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan suspek namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan dan semakan lanjut ke atas nombor pendaftaran berkenaan merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang pada 2015,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini  hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat dan kes  disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA