Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pertukaran portfolio beliau daripada menteri perumahan dan kerajaan tempatan kepada menteri kerja raya bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah disebabkan masalah komunikasi dan perubahan seumpama itu boleh berlaku mengikut kesesuaian.

“Ia bukan isu, cuma sedikit masalah komunikasi, kami gembira (pembahagian jawatan dalam Kabinet) dan kami sebahagian daripada kerajaan.

“Kini kami mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri dan rakyat Sabah, itu fokus utama kami,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Luyang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor mengumumkan Bung Moktar sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan namun membuat perubahan dalam sidang media di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) selepas itu.

Portfolio Bung Moktar diserahkan kepada Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Ditanya sama ada kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan lama, Bung Moktar yakin GRS merupakan satu pasukan yang kukuh dan kekal bertahan sebagai kerajaan untuk tempoh yang lama.

“ADUN kami semua cukup terlatih untuk menolak segala tawaran daripada pihak sebelah dan saya yakin mereka akan kekal,” katanya .

Sementara itu Bung Moktar berkata, kerajaan Sabah yang baharu akan fokus kepada usaha membendung Covid-19 di mana jumlah kes yang tinggi dicatatkan di negeri itu.

Ditanya sama ada mana-mana kementerian akan mengetuai usaha tersebut, katanya, perkara itu akan dibincangkan. – MalaysiaGazette