Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyelar dakwaan pihak mempersoal keberadaan guru bagi memantau kepatuhan pelajar terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 selepas waktu sekolah.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock menegaskan tugas guru menjaga pelajar tamat apabila semua urusan di sekolah selesai dilaksanakan.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa yang sepatutnya membawa anak-anak mereka pulang dan bukan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.

“Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula di pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini

Semalam, tular keratan sebuah akhbar tempatan mengenai pendapat seorang pembaca yang mempersoalkan keberadaan guru untuk mengawal dan memantau kepatuhan SOP pelajar selepas waktu persekolahan.

Harry berkata adalah tidak adil untuk menghukum golongan pendidik atas perkara yang di luar bidang tugas mereka.

Jelasnya, dalam keadaan negara yang dilanda wabak COVID-19, tugas guru semakin mencabar kerana bukan sahaja melakukan tugasan hakiki malah kini ditambah dengan tugas berkaitan pematuhan SOP pandemik COVID-19.

“Awal pagi, guru sudah tunggu depan pagar untuk rekod suhu pelajar, selain itu semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) rancak berjalan pula guru juga terpaksa menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng dan disiplin pelajar,” katanya.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.