Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan

KUALA LUMPUR – Satu sidang media khas berhubung Datuk Bandar Kuala Lumpur oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa akan diadakan esok.

Tanpa memperincikan butirannya, jemputan media telah diedarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat kementerian.

Terdahulu, Annuar dalam satu ciapan di Twitter mengumumkan penamatan kontrak Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim hari ini.

Kedua-duanya dilantik ke jawatan tersebut pada Oktober 2018.

Artikel berkaitan: Kontrak Datuk Bandar KL dan Presiden PPj tamat hari ini

Menurut Annuar, sebarang pelantikan baharu mahupun pembaharuan kontrak akan dilakukan mengikut prosedur tertentu.

Pihaknya akan melaksanakan proses tersebut dengan segera.

Beberapa hari lalu, timbul kontroversi di antara Annuar dengan Nor Hisham selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu bertindak menamakan dan merasmikan Jalan Palestin bagi menggantikan nama Jalan Raja Laut 1.

Annuar yang tidak berpuas hati dengan pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 itu menuntut penjelasan daripada Nor Hisham.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, masih banyak lagi jalan yang dinamakan dengan nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay dan Jalan Cochrane boleh digantikan dengan Jalan Palestin.

Tidak menafikan sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin namun tegasnya, beliau tidak bersetuju jalan yang dinamakan dengan pembesar Melayu dan bersejarah itu ditukar. – MalaysiaGazette