Abdul Azeez Rahim

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober untuk mendengar permohonan isteri dan empat anak bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk menangguhkan saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun bank mereka.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd Rifahmi Abdul Musikin yang mewakili mereka memaklumkan bahawa peguam utama M. Athimulan masih berada di Istana Kehakiman bagi mengendalikan kes lain.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata, pendakwaan tidak membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding hari ini.

Permohonan untuk menangguhkan pendengaran kes itu dibuat sementara menunggu perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez iaitu Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera dan akaun syarikat milik mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September tahun lepas manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari tahun ini. – Bernama