khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengemukakan laporan akhir kajian situasi buruh sektor perladangan sawit kepada Jabatan Buruh (DOL) Amerika Syarikat dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit negara daripada Senarai TVPRA.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

“KPPK (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi) telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan AS mengharamkan pengimportan minyak sawit FGV Holdings Bhd (FGV) dengan mendakwa ia menggunakan buruh paksaan dalam proses pengeluarannya.

Semalam, Kastam dan Pengawalan Sempadan (CBP) AS berkata, pengharaman tersebut dilaksanakan berikutan siasatan yang telah lama dilakukan yang mendedahkan terdapat indikator buruh paksaan termasuk terdedah kepada bahaya, penipuan, keganasan fizikal, keganasan seksual, intimidasi dan ancaman serta penahanan dokumen identiti.

Siasatan juga meningkatkan kebimbangan terhadap potensi buruh paksaan kanak-kanak yang digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV, katanya dalam kenyataan sambil menambah pengharaman tersebut berkuatkuasa serta merta,

Menurut Mohd Khairuddin, isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak, khususnya yang melibatkan warga asing, adalah kompleks kerana melibatkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan.

Justeru, kata beliau, kementeriannya  telah mengambil langkah permulaan menangani isu ini melalui pelaksanaan kajian awal
situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada tahun 2014.

Tambah beliau, pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama ILO selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia.

Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif, ujarnya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu
tersebut.

Selain itu, katanya, road show turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa. – MalaysiaGazette