Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ciapan yang dimuatnaik Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui akaun Twitternya awal pagi tadi merupakan  peringatan supaya rakyat Malaysia duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, apa yang dilakukannya itu bukannya perkara baharu.

“Perkara saya tweet itu daripada hari pertama saya tweet begitu iaitu nasihat rakyat Malaysia yang tidak ada urusan penting dinasihatkan duduk di rumah.

“”Kalau kita nak keluar dari rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP); Itu tujuan utama saya tweet, hanya memperingati rakyat Malaysia untuk duduk di rumah kalau tiada urusan penting,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya ciapan yang dimuatnaik pada akaun Twitternya pada pagi tadi merujuk kepada kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula di seluruh negara.

Ia mendapat perhatian media apabila beberapa portal menyiarkannya pada pagi tadi.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang mempunyai urusan penting yang berada di luar perlu  mengamalkan 3 W iaitu cuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka dan patuh amaran KKM selain mengelakkan kawasan sesak dan sempit, serta bersembang pada jarak yang dekat.

Sementara itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap keadaan Covid-19 di dalam negara sudah kembali normal.

Anggapan tersebut merupakan kesilapan besar yang hanya mengundang risiko tinggi jengkitan virus itu, katanya.

“Ingat kalau kita leka ambil mudah kena sedar bahawa virus itu sudah berada dalam kalangan komuniti dan nasihat supaya duduk rumah dan patuhi secara tegas langkah kesihatan yang ditetapkan.

“Kalau ambil mudah keadaan kembali normal itu kesilapan besar. Kalau tidak patuh rakyat dan petugas kita akan menyaksikan jangkitan bertambah dari semasa ke semasa,” tambah beliau. – MalaysiaGazette