Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Jika terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN) serta parti komponennya atau tidak dalam menghadapi pilihan raya umum, ia perlu diputuskan segera.

Itu tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan proses menyediakan diri dilakukan parti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada keputusan dalam pembentukan kerajaan negeri Sabah baru-baru ini.

“Keputusan pilihan raya Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan UMNO malah semakin memencilkan peranannya di Sabah.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya, kata Mohamad dan jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

“Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan. Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan potfolio Kabinet pun hampir dimungkiri.

“UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” ujarnya lagi.

Justeru, telah tiba masanya Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama dengan saingan politik, katanya.

Menurutnya, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRU Sabah.

“Menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “Langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara.

“Episod itu telah berakhir. Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN),” kata Mohamad.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.