Seorang lelaki merakam gambar papan tanda Jalan Palestin ekoran Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Palestin, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 28 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Baru baru ini, pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin menjadi kontroversi terutama di media sosial.

Ada pihak menganggap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba ‘memadamkan’ sejarah Melayu lebih-lebih lagi Raja Laut merupakan nama ikonik sebagai pengasas sekolah Melayu di Malaysia.

Namun bagi DBKL, ia dilihat sebagai satu tindakan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.

Mungkin pihak berkuasa tempatan itu menganggap tidak ada salah salah satu cabang jalan ditukar memandang jalan utama masih kekal nama Jalan Raja Laut.

Difahamkan, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur telah tercetus semasa majlis Himpunan Hari Al-Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati rata-rata warga kota tidak senang dengan pertukaran itu bahkan dapat mengelirukan orang ramai.

“Memang setujulah kenapa perlu letak nama jalan Palestin, ini Malaysia. Tidak ada kena mengena nama itu,” kata Norita Mohd Zain.

Norita Mohd Zain. foto AFFAN FAUZI, 30 SEPTEMBER 2020.

Bagi seorang peniaga, Mohd Rashid Mohd Said pula, nama lain atau tokoh tempatan yang berjasa banyak lagi ada dan kenapa perlu letak nama Palestin.

Mohd Rashid Mohd Said. foto AFFAN FAUZI, 30 SEPTEMBER 2020.

“Nama lain boleh letak, orang dekat Malaysia pun banyak yang berjasa,” ujarnya.

Bagi Rahman Ismail pula, beliau juga sependapat kerana Raja Laut seorang tokoh penting dalam negara dan tidak bersetuju sekiranya nama tidak kepentingan diberi keistimewaan.

Rahman Ismail. foto AFFAN FAUZI, 30 SEPTEMBER 2020.

Pada 26 September lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Hisham Ahmad Dahlan bersama Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali telah merasmikan penukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

Penamaan Jalan Palestin itu adalah sebagai simbol sokongan negara Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang  penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin.

Namun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kelihatan tidak senang dengan keputusan DBKL
untuk menamakan semula Jalan Raja Laut 1 menjadi Jalan Palestin.

Beliau turut mempersoalkan mengapa DBKL tidak menukar nama-nama jalan nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan banyak lagi.- MalaysiaGazette