Foto hiasan

Oleh Yusof Ghani

BARU-baru ini semasa memandu di sebuah kampung pedalaman di utara semenanjung, penulis terserempak dengan dengan seorang kanak-kanak yang menunggang motosikal sambil memboncengkan tiga penumpang lain yang lebih kecil. Pembonceng yang paling kecil – mungkin berusia dua tahun – berdiri di tempat letak barang hadapan manakala dua lagi di tempat duduk belakang.

Oleh kerana kami berselisih pada laluan sempit, kanak-kanak itu terpaksa memberhentikan motosikalnya di tepi jalan dengan menupangkan sebelah kakinya pada tunggul kayu kerana kakinya belum cukup panjang untuk mencecah tanah.

Penulis menurunkan cermin kereta dan memberi salam kepada kanak-kanak tersebut. “Assalamualaikum adik, nak ke mana tu?”

“Nak ke sana jer pakcik,” jawabnya.

“Berapa umur adik,” penulis menyoalnya.

“Lapan tahun,” jawab anak kecil tersebut.

Tidak ada apa yang mampu dilakukan, penulis sekadar menasihatinya mengenai bahaya yang mungkin menimpa dan tidak menunggang motosikal tanpa lesen.

Sepanjang perjalanan pulang dari utara ke ibukota pula, penulis terserempak dengan beberapa kumpulan motosikal yang turut menggunakan lebuhraya. Kebanyakan mereka bermotosikal besar dan ada juga kumpulan yang menunggang motosikal klasik jenama tertentu.

Pendek kata, lebuh raya pada hujung minggu tersebut sungguh meriah dengan kehadiran motosikal secara berjemaah yang secara umumnya menunggang laju melebihi had kelajuan di lebuhraya.

Paling menarik, ada juga aksi-aksi stunt seperti ‘Superman’ oleh beberapa orang anak muda yang tidak memikirkan sebarang risiko melainkan hanya untuk menikmati ‘thrill’ menunggang motosikal. Mungkin anak-anak muda ini cuba menunjuk-nunjuk kepada rakan sebaya mereka dan pengguna jalan yang lain mengenai kehebatan mereka.

Secara umumnya, apa yang penulis alami ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua di Malaysia. Motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak digunakan dan dengan jumlah sekitar 15 juta buah, motosikal bukan sahaja merupakan mod pengangkutan, malah merupakan satu budaya di Malaysia.

Motosikal dimiliki oleh hampir setiap keluarga kerana ia merupakan kenderaan yang mudah digunakan, menjimatkan, serta boleh dimiliki pada harga mampu milik. Motosikal juga boleh diubahsuai mengikut keperluan seperti untuk membawa barangan. Sumbangan motosikal dalam ekonomi negara memang tidak dapat dinafikan, namun kewujudan motosikal di setiap celah pelosok tanah air turut memberikan kesan negatif kepada negara.

“Setiap tahun, sekitar 60% atau 4,000  daripada jumlah kematian di jalan raya di negara kita terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal dan ini merupakan satu cabaran kepada pihak kerajaan,” jelas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim.

“Jika dilihat pada kategori, peringkat umur antara 15-25 tahun merupakan kumpulan yang paling terdedah kepada risiko sebagai mangsa pelanggaran motosikal,” tambah Khairil.

Pelanggaran motosikal bukan sahaja meragut nyawa, tetapi mempunyai banyak implikasi lain kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Contohnya, kecacatan akibat pelanggaran bukan sahaja mengubah masa depan anak muda kepada kesukaran, malahan turut memberi kesan kepada ekonomi negara dan keluarga.

Bayangkan, ada anak muda yang terlantar koma selama lapan tahun akibat pelanggaran motosikal sejak berusia 14 tahun dan keluarganya terpaksa membelanjakan RM2,000 setiap bulan untuk penjagaannya! Kemalangan yang menimpa menyebabkan keluarga ini mengalami tekanan ekonomi dan sosial yang kuat, manakala kerajaan juga turut perlu membelanjakan wang kebajikan.

Sehubungan itu, Khairil mencadangkan agar motosikal hanya digunakan apabila ada keperluan sahaja. “Menunggang motosikal, terutamanya di jalan yang sesak serta berkelajuan tinggi mengundang risiko yang amat tinggi. Sebaik-baiknya pengguna perlu mampu menilai risiko dalam setiap perjalanan,” katanya.

Dalam satu kajian, mantan Ketua Pengarah MIROS Allahyarham Prof Datuk Ir. Dr. Radin Umar Sohaidi merumuskan bahawa menunggang motosikal adalah 6000 kali lebih bahaya berbanding menaiki kapal terbang, 350 kali lebih bahaya berbanding menaiki keretapi, 30 kali lebih bahaya berbanding menaiki bas, dan lima kali lebih bahaya berbanding menaiki kereta.

Oleh kerana kajian telah membuktikan bahawa motosikal adalah lebih merbahaya, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan risiko daripadanya.

“Sekiranya ada pilihan dan kemampuan (dari segi kewangan), jadikan motosikal pilihan yang mod pengangkutan yang terakhir,” nasihat Khairil.

“Contohnya, mereka yang mempunyai akses kepada pengangkutan awam, gunakanlah perkhidmatan yang disediakan. Salah satu tujuan kerajaan menyediakan rangkaian pengangkutan awam ialah kerana ianya menjimatkan serta menjadikan jalan raya lebih selamat,” jelasnya lagi.

Adalah menyedihkan apabila ada ibu bapa yang tidak mengendahkan keselamatan membenarkan anak mereka, termasuk yang tidak berlesen, menunggang motosikal ke sekolah walaupun terdapat perkhidmatan van atau bas. Alasan yang kerap digunakan ialah motosikal lebih cepat dah mudah serta ‘menjimatkan’.

Sehubungan itu, Khairil menasihatkan ibubapa supaya tidak membiarkan motosikal menjadi ‘mainan’ anak-anak bagi mengisi masa lapang mereka.

“Ibubapa (yang memiliki motosikal) perlu memastikan kunci motosikal tidak jatuh ke tangan anak-anak yang belum memiliki lesen kerana risiko kecederaan atau kematian adalah tinggi.

“Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan motosikal boleh menjadi senjata untuk membunuh ahli keluarga sendiri sekiranya ibubapa tidak mengawal penggunaannya,” tambah Khairil lagi.

Bagi mereka yang menjadikan menunggang motosikal sebagai hobi di hujung minggu pula, Khairil mengingatkan bahawa mereka juga tertakluk kepada undang-undang dan perlu memelihara keselamatan diri dan pengguna jalan yang lain.

“Tungganglah secara berhemah dan selamat dengan mematuhi segala undang-undang jalanraya yang berkaitan seperti mengikut had kelajuan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua supaya memakai topi keledar dengan betul, memakai pakaian yang sesuai (seperti jaket keselamatan, sarung tangan dan kasut) serta memilih warna pakaian yang cerah (serta pantul cahaya) dan bukannya hitam.

Katanya warna pakaian pantul cahaya akan meningkatkan tahap kebolehlihatan dan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat.

“Lakukan yang terbaik untuk keselamatan dan barulah bertawakal,” kata Khairil.

Bagaimanapun, Khairil menegaskan bahawa aktiviti rekreasi bermotosikal di hujung minggu tetap berisiko tinggi.

“Negara kita kehilangan ramai professional dan pegawai-pegawai tinggi dalam pelanggaran yang melibatkan motosikal besar di hujung minggu,” jelas Khairil.

Dengan anggaran nisbah satu motosikal bagi setiap dua penduduk, motosikal adalah sebahagian budaya kehidupan di Malaysia. Sama seperti pisau yang boleh digunakan untuk kebaikan seperti memotong sayur, di sisi yang lain motosikal juga boleh menjadi senjata untuk membawa kemudaratan.

Oleh itu, pastikan motosikal hanya digunakan untuk keperluan dan bukannya untuk keseronokan kerana risiko yang datang bersamanya amat tinggi. Apatah lagi sekiranya motosikal jatuh ke tangan anak-anak yang lansung tidak memahami sebarang risiko yang menanti.

(Yusof Ghani ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS))