Kejayaan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan penyeludupan migran mensasarkan warga Indonesia yangb aktif di Lembah Klang pada 1 Oktober 2020.

PUTRAJAYA – Satu sindiket didalangi warga Indonesia yang terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan dan cop Imigresen Malaysia ditumpaskan Jabatan Imigresen.

Ahli-ahli sindiket yang aktif sekitar Lembah Klang itu berjaya ditangkap dalam serbuan terhadap lima premis di Lembah Klang semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md Isa berkata, dalam operasi khas itu berjaya menangkap seramai 33 warga Indonesia terdiri daripada 22 lelaki, sembilan wanita dan dua kanak-kanak lelaki.

“Turut ditangkap tiga lelaki Indonesia yang merupakan mastermind atau dalang sindiket yang berusia 38 hingga 41 tahun serta seorang runner juga warga Indonesia berusia 25 tahun.

“Modus operandi sindiket ini adalah membuat pelbagai dokumen palsu dan cop-cop palsu Imigresen Malaysia da menyediakan perkhidmatan penghantaran pulang ke negara asl dengan dokumen palsu yang dikeluarkan.

“Untuk mendapatkan pelanggan bagi melariskan kegiatan mereka sindiket berkenaan membuat iklan melalui flyer dan juga orang tengah untuk mencari pelanggan,” katanya dalam sidang media khas kejayaan itu di sini hari ini.

Justeru Mohamad Fauzi, dianggarrkan lebih 500 orang pelanggan warga Indonesia telah mendapatkan perkhidmatan terlarang sindiket itu sejak mereka beroperasi dengan caj perhidmatan bergantung kepada jenis dan melibatkan bayaran RM100 hingga RM1,500.

Dalam serbuan terhadap lima rumah kedai dan rumah kongsi itu, didapati kelima-lima premis itu dijadikan pusat transit dan dua daripadanya digunakan sebagai pusat aktiviti pemalsuan dokumen.

Menurut beliau, antara rampasan yang dibuat di kelima-lima premis itu adalah 18 unit cop masuk dan 20 unit cop keluar Imigresen Malaysia palsu.

“Kita juga merampas lima unit cop Pas Khas palsu. dua unit Cop BLI palus,, lima keping cetakan Pas Khas Imigresen palsu, 62 unit pelbagai Cop keluar masuk Indonesia, China, Singapura dan Thailand yang palsu, 33 naskah pasport Indonesia, 23 naskah Surat Perjalanan Laksana Pasporr (SPLP), 36 keping surat Keputusan Covid19 palsu dari pelbagai hospital, dan klinik swasta negara ini dan dua keping Surat Kementerian Kesihatan Malaysia palsu.

“Kesemua pasport Indonesia dan SPLP telah dirujuk kepada Kedutaan Indonesia untuk tujuan pengesahan ketulenan,” katanya lagi.

Keempat-empat dalang sindiket itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu di bawah Seksyen 55D (pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 26A (menjalankan penyeludupan migran) di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Tegas beliau, seramai 29 orang lagi akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63
kerana tinggal di Malaysia tanpa pas sah da Seksyen 5(1)(c) tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas.

“Kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, sepanjang 1 Januari hingga hari ini, pihaknya berjaya menumpaskan empat sindiket pemalsuan dokumen membabitkan warga Indonesia.

“Imigresen juga memberi amaran keras kepada pemilik premis supaya tidak menyewa premis kepada orang yang tidak dikenali atau berdepan tindakan keras kerana menyewakan premis kepada pihak yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tembak je dalang lahanat tu!! Tokeh yg menyewakan bangunan kat dalang pun kasi bungkus!

    Tahniah imigresen!! Teruskan usaha. Anda memang hebat!! Terima kasih menjaga negara kita yang tercinta ini.

Comments are closed.